PERHATIAN
 : BLOG INI AMAT SESUAI DILAYARI DENGAN MENGGUNAKAN: 1.GOOGLE CHROME atau 2.MOZILA FIREFOX. klik untuk muat turun.

SEKADAR HIBURAN " sila muat turun untuk kualiti suara yang lebih jelas "

SEMBANG SANTAI LIVE ONLINE

Create a Meebo Chat Room

Tribute Allahyarham Ust Asri Ibrahim

Thursday, February 5, 2009

MASJID AL AQSA



Masjid kedua tertua dan ketiga tersuci di dunia adalah Masjidil Aqsa (Masjid Al-Aqsa). Masjid itu dibangunkan di atas lokasi Kenisah Sulaiman atau Haykal Sulaiman dan termasuk di antara tiga masjid yang perlu dikunjungi oleh kaum Muslim sesuai dengan anjuran Nabi Muhammad s.a.w. Keutamaan Masjidil Aqsa ini didasarkan daripada sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Janganlah kamu merasa berat untuk mengadakan perjalanan ke tiga masjid: Masjidil Haram, Masjidku ( Masjid Nabawi ) dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih utama dari 100,000 kali di tempat lain kecuali di Masjidil Aqsa.” ( Riwayat ad-Darimi, an- Nasa’i, dan Ahmad)

Masjidil Aqsa disebut di dalam al-Quran yang berkaitan dengan peristiwa Israk Mikraj (Q.17:1). Nabi s.a.w. melakukan Israk (perjalanan malam hari) dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebelum bermikraj ke Sidratulmuntaha, sebagaimana dalam firman-Nya: “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami…” (Q.17:1).

Kalangan ulama berbeza pendapat mengenai istilah “aqsa”. Sebahagian berpendapat bahawa masjid ini disebut Aqsa (Jauh) kerana memang jauh dari Masjidil Haram di Mekah. Menurut pendapat lain, masjid ini disebut Aqsa kerana ia merupakan tempat yang bebas daripada segala jenis kotoran, tempat turunnya malaikat serta wahyu, dan kiblat para nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Pendapat lain lagi mengatakan bahawa Masjidil Aqsa bukan di Baitulmaqdis tetapi di Sidratulmuntaha. Alasan ini didasarkan pada fakta bahawa Haykal Sulaiman sudah dihancurkan pada tahun 70 SM oleh Kaisar Titus dari Rom.

Masjidil Aqsa berada dalam sebuah kompleks di kota Baitulmaqdis (rumah, tempat suci atau yang disucikan). Baitulmaqdis adalah sebutan bagi Jerusalem yang juga disebut al-Quds. Masjidil Aqsa didirikan di atas tanah bekas Haykal Sulaiman. Di dalam kompleks itu, Masjidil Aqsa terletak di selatan Kubah as-Sakhrah yang juga dikenali dengan nama Masjid Umar atau The Dome of the Rock. Masjid itu didirikan seperti di atas sakhrah (batu hitam yang menjadi landasan mikraj Nabi s.a.w) oleh Abdul Malik bin Marwan pada tahun 72 H/691 M.

Nabi Sulaiman a.s membangun tempat ibadah Yahudi (kenisah) di Jerusalem yang disebut Haykal Sulaiman. Bangunan yang terletak di Haram asy-Syarif itu lalu dihancurkan oleh Kaisar Titus pada tahun 70 SM. Khalifah Umar membina sebuah masjid (Masjidil Aqsa) di bekas lokasi Haykal Sulaiman itu. Kubah masjid itu berwarna perak. Masjidil Aqsa telah diperbaiki beberapa kali, namun bentuknya tetap tidak berubah.

Ketika menerima penyerahan Jerusalem (dahulu bernama Aelia) daripada penguasa Nasrani, Umar al-Khattab mendapati tompokan sampah di atas sakhrah. Beliau dan kaum Muslim membersihkan tempat itu. Lalu beliau berkata kepada Ka’b bin Ahbar (seorang Yahudi yang memeluk Islam), ”Menurut pendapat kamumu, di mana saya dapat mendirikan sembahyang untuk kaum Muslim?” Dia (Ka’b) menjawab, ”Dirikanlah di belakang(sebelah utara) sakhrah.” Umar pun membalas, ”Hai kau anak perempuan Yahudi, kau masih terpengaruh dengan kefahaman Yahudi! Sebaliknya, saya akan mendirikan masjid tempat di pusat lokasi Haykal Sulaiman kerana kami menguasai seluruh pusat kenisah itu.” Lalu, sebuah Masjid dibina di sebelah selatan sakhrah seperti yang dapat disaksikan sekarang ini. Masjid itulah yang dinamakan Masjidil Aqsa.

 

ITULAH POLITIK TIDAK MALU ......

Oleh Zaharuddin Abd Rahman 
http://www.zaharuddin.net/ 

Macam-macam boleh jadi dalam politik. Itulah kata-kata yang sering kita dengar apabila berlaku sesuatu yang pelik dalam perkembangan politik, sama ada politik di dalam Malaysia, mahupun di peringkat antarabangsa. 

ITULAH POLITIK 

Kelmarin diberitakan Iran melancarkan satelit mereka yang pertama, tujuannya adalah semata-mata untuk perkembangan komunikasi. Namun berita-berita di UK sudah bersangka buruk dengannya, dengan memberikan gambaran Iran akan menggunakannya untuk tujuan ketenteraan. Isu tenaga nuklear sudah lama dibincangkan. Peliknya, mengapa Israel dibenarkan menggunakan dan menyimpan senjata nuklear, demikian Amerika, dan lain-lain Negara besar dibenarkan tanpa banyak soal boleh menyekat kebebasan sebuah Negara lain seperti Iran dan Korea. Mudah jawapannya, ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', orang kata ‘tidak adil' dan lain-lain. 

Apabila terang-terang, Yahudi Zionis melakukan jenayah kemanusiaan apabila membunuh begitu ramai orang awam di Palestin. Mereka tidak dikutuk teruk, Presiden Obama dan sekutunya seolah-olah BUTA, dan terus mengemukan hujjah-hujjah yang kelihatan ‘amat kurang aqal' dan melucukan. Orang akan kata, ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil' dan lain-lain. 

Apabila beberapa pemimpin dan ahli sebuah parti Islam yang menentang habis-habisan sebuah parti kebangsaan yang disebutnya kafir dan munafik. Tiba-tiba melompat ke parti yang dikatakan munafiq. Juga dengan ‘hujah tahap tadika'. Orang kata ..ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil' dan ‘jilat ludah sendiri' dan lain-lain. 

Apabila seorang bekas ketua gerakan orang muda sebuah parti yang mendokong ‘perubahan' dan anti rasuah, dahulunya HEBAT ya AMAT HEBAT membantai beserta sumpah dan kotak-kotak bukti rasuah orang daripada parti yang ditentangnya. Tiba-tiba tidak semena-mena membawakan hujjah ‘tadikal lalu melompat kepada parti lawannya. Orang kata..ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil', ‘jilat ludah sendiri', ‘tiada maruah' dan lain-lain. Pedulilah apa orang nak kata. 

Seorang wakil rakyat melompat parti dari A kepada parti B, dalam tempoh beberapa hari, apabila dirasakan keadaan tidak selamat bagi dirinya, melompat semula kepada parti A. Dikemukan beberapa hujjah ‘t tadika' juga. Lalu dirasakan dirinya telah berjaya menjustifikasikan tindakan ‘beraqal tadikanya'. Orang kata, ITULAH POLITIK! 

Beberapa orang lagi, tidak melompat ke parti lain, tetapi melompat juga, melompat ke parti tiada cap. Diri sedang diteliti akibat kes-kes rasuah, termasuk rasuah seks. Tetapi seolah gentleman yang bijak pandai, menjustifikasikan tindakannya dengan hujah ‘tadika'. Tidak segankah mereka? Orang kata, ITULAH POLITIK! Tiada yang malu dalam politik? Semua boleh buat asalkan boleh manfaat untuk diri, peduli orang lain.? 

BODOH SANGAT RAKYAT DI MATA AHLI POLITIK? 

Tidak sedarkah individu-individu seperti yang disebut di atas, betapa hina mereka di sisi mata orang ramai?. Atau terlalu bodohkah orang ramai di mata mereka.? sehingga boleh didatangkan dengan hujjah-hujjah versi ‘tiada aqal', lalu tersenyum lebar menyangka semua orang masih menghormatinya luar dalam. 

Sedangkan manusia yang reti, faham dan ‘ada aqal', memandangkan dengan pandangan busuk. Orang busuk sedang berjalan, orang busuk sedang bercakap, sedang menghadiri mesyuarat. 

Kita kerap mengganggap POLITIK sebagai tiket atas segala kepelikan hasil perlakuan orang politik. 

Seeloknya, jangan lagi diletakkan beban dan sebab kepada POLITIK apabila ingin melakukan sesuatu yang TIDAK BERMORAL, TIADA MARUAH dalam industri politik. Beritahu sahaja sedemikian. 

"Saya rasuah sana sini, tipu sana tipu sini, buat ini, buat itu, lompat sana, lompat sini sebenarnya KERANA SAYA INI TIADA MARUAH, TIADA MALU DAN TAMAKKAN DUNIA " 

Amati sekali lagi bagaimana politik Khalifah Umar al-Khattab r.a dalam tulisan saya sebelum ini. Betul, banyak dilakukan atas dasar politik, tetapi politik yang didasari malu terhadap Allah swt dan sedar rakyatnya punyai hak besar untuk meneliti dirinya. 

Adakah ahli politik tidak perasan bahawa seribu satu macam jenayah mereka sebenarnya adalah 'open secret' di kalangan rakyat.? Cuma gagal di buktikan di mahkamah dunia sahaja, kerana itu masih bebas. 

Lihat sahaja rumah ahli politik sebelum dan selepas, padahal gaji dan elaun sebagai ahli parlimen Malaysia hanya sekitar RM 10,000 dan ADUN sekitar RM 8,000. 

Lihat pula rumah dan harta pegawai atasan kerajaan termasuk Polis. Cubalah jenguk dan tinjau rumah mereka dan lihat gaya hidupnya. Jika ada Umar al-Khattab, pastinya tercabut semuanya. 

KERAJAAN NEGERI PERAK 

Semasa saya menulis artikel ini, belum ada keputusan dari pihak Sultan sama ada untuk memperkenankan pembubaran DUN atau tidak. Namun, adalah sangat bijak jika diperkenankan pembubaran bagi menyapu bersih muka-muka yang tiada ‘malu' DENGAN PERLAKUAN SALAH MEREKA atau yang juga sedang merendahkan minda dan hak rakyat di negeri mereka. 

Sangat elok kiranya, rakyat diberi peluang semula untuk memilih pemimpin mereka agar individu tiada parti diganti dengan yang ada parti. Yang melompat-lompat diganti dengan yang tidak melompat. Amat diharap DUN boleh dibubarkan. Ia saya kira keputusan yang terbaik di mata pemerhati awam khususnya saya. 

Bagi saya, kes di Perak sebenarnya membuktikan betapa ‘TIDAK TAHU MALUNYA' sebahagian orang-orang politik di Malaysia. Seolah tidak lagi mereka mengendahkan perasaan, kebencian dan minda rakyat. 

Tiada lagi malu untuk berbuat apa sahaja atas nama politik. Yang penting boleh dijustifikasikan walaupun dengan hujjah tidak beraqal. 

INILAH POLITIK TIDAK TAHU MALU namanya dan politik hina dan membawa kepada kehinaan dan tiada maruah. Nabi s.a.w pernah menyebut kita PERLU MALU, kerana malu adalah agama, dengan terang lagi jelas baginda menyebut :- 

إن مما أدرك الناس من كلام النبوة الأولى إذا لم تستح فاصنع ما شئت 

Erti : Sesungguhnya, perkara yang telah diketahui ramai dari perkataan nabi-nabi awal dahulu adalah : Apabila kamu tidak lagi mempunyai perasaan malu, kamu buatlah ( akan berbuat) apa sahaja ( Riwayat Al- Bukhari) 

Dan satu lagi : 

الحياء خير كله 

Ertinya : Perasaan malu itu semuanya (membawa) kebaikan (riwayat Muslim) 

dan sebuah lagi hadis menjelaskan :- 

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( استحيوا من الله حق الحياء ) ، قلنا : يا رسول الله إنا نستحيي والحمد لله ، قال : ( ليس ذاك ، ولكن الاستحياء من الله حق الحياء أن تحفظ الرأس وما وعى ، والبطن وما حوى ، ولتذكر الموت والبلى ، ومن أراد الآخرة ترك زينة الدنيا ، فمن فعل ذلك فقد استحيا من الله حق الحياء ) 

Ertinya : Ibn Mas'ud menceritakan : Rasul bersabda : berasa malulah dengan Allah SWT DENGAN sebenar-benar erti malu, sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah pun berasa malu itu Alhamdulillah, 

Baginda menjawab : Bukan demikian, tetapi malu kepada Allah swt yang sebenar-benarnya adalah dengan menjaga kepalamu dan setiap apa yang di dalam pemikiranmu, menjaga perutmu dan setiap apa yang diingininya, dan perbanyakkan ingatan kepada mati dan kehancuran, barangsiapa yang inginkan Akhirat, bakal meninggalkan perhiasan dunia (tidak ditipu dengan kepentingan dunia), seseiapa yang berbuat demikian seperti disebut di atas, mereka telah malu kepada Allah swt dan melaksanakan hak ‘malu' ( Riwayat At-Tirmidzi ) 

AKHIRNYA 

Akhirnya, buat diri saya dan semua warga Malaysia di mana jua kita berada, berperanan dalam apa jua jawatan dan kapasiti. Malulah dengan Allah swt, diri sendiri, orang ramai. malu dalam kejahatan, bukan malu untuk melakukan kebaikan. 

Janganlah bermain dengan POLITIK TAK TAHU MALU!! Janganlah menjadikan tindakan TIDAK TAHU MALU sebagai strategi politik. Kerana ia memalukan kami untuk mempunyai pemimpin yang TIDAK TAHU MALU. 

Sekian 

Zaharuddin Abd Rahman 
http://www.zaharuddin.net/ 
4 Feb 2009 ( 6.58 malam waktu UK)

Saturday, January 17, 2009

Qunut Nazilah

Saya dan anda semua sebagai umat islam tentu berkobar kobar untuk membantu saudara kita yang di tindas di Gaza, Namun dimana peluang kita untuk berbuat demikian, Rasulullah telah mengajar kita untuk menghadapi situasi ini hanya dengan sekadar membaca apa yang dinamakan sebagai Qunut Nazilah ,Ia dinamakan Qunut Nazilah kerana ia disyariatkan untuk dibaca ketika umat Islam ditimpa sebarang bencana dan musibah seperti peperangan, bencana alam dan wabak penyakit.

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu ketika apabila mengucapkan “Samiallahu liman hamidah” pada rakaat terakhir Solat Isyak, baginda berqunut: “Ya Allah, selamatkanlah Ayyash bin Abi Rabiah, Ya Allah, selamatkanlah Al-Walid bin Al-Walid, Ya Allah, selamatkanlah Salamah bin Hisham, Ya Allah, selamatkanlah kaum yang lemah dan tertindas di kalangan orang-orang mukmin”.
( Imam Bukhari dan Muslim)

Daripada Ibnu Abbas RA, bahawasanya beliau berkata: Rasulullah SAW telah berqunut selama sebulan berturut-turut dalam solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh iaitu pada rakaat terakhir ketika I’tidal selepas mengucapkan “Samiallahu liman hamidah”. Baginda mendoakan kemusnahan Bani Sulaim, Ra’al, Dzakwan dan Ushaiyah, manakala para makmum di belakang baginda mengaminkan doa itu.
( Hadis Imam Ahmad dan Abu Daud )


marilah bersama kita mengamalkanya sebagai tanda bantuan kita yang termampu kita lakukan disamping usaha usaha lain yang kita mampu, oleh kerana ia dianjurkan oleh rasulullah maka eloklah  kita mengamalkanya sebagai tanda sayang kita kepada umat islam di Palestin yang juga umat nabi kita Muhammad SAW....

Doa Qunut Nazilah untuk saudara kita di Palestin:

اللَّّهُمَّ انْصُرْ اِخْوَانَ الْمُسْلِمِيْنَ فِيْ فَلَسْطِيْن، اللّهُمَّ سَدِّدْ رَمْيَتَهُمْ وَقَوِّ شَوْكَتَهُمْ وَاجْمَعْ عَلَى الْحَقِّ كَلِمَتَهُمْ، اللّهُمَّ افْتَحْ لَهُمْ فَتْحاً مُبِيْنَا، وَاهْدِهِمْ صِرَاطاً مُسْتَقِيْماً وَانْصُرْهُمْ نَصْرًا عَزِيْزاً
“Ya Allah, bantulah saudara muslimin di Palestin (3x), Ya Allah, tepatkanlah lontaran mereka, kuatkanlah senjata mereka dan satukanlah mereka di atas kebenaran, Ya Allah, bukakanlah untuk mereka (kebenaran) yang nyata, tunjukkanlah mereka jalan yang lurus dan bantulah mereka dengan bantuan yang hebat”


اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالصَّهَايِنَةِ الْمُعْتَدِّيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرْنَا عَلَى الْيَهُوْدِ الْمُغْتَصِبِيْنَ الْمُعْتَدِّيْنَ، وَانْصُرْنَا عَلَى جَمِيْعِ أَعْدَائِكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنَ
“Ya Allah, musnahkanlah Zionis yang memusuhi kami, Ya Allah, bantulah kami ke atas orang-orang kafir, Ya Allah, bantulah kami ke atas Yahudi yang mencabul dan memusuhi kami, dan bantulah kami ke atas segala musuhMu yang merupakan musuh agama”


اللّهُمَّ إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي نُحُورِ أَعْدَائِنَا، ونَعُوْذُ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ، اللّهُمَّ يَامُنْزِلَ الكِتَابِ، وَيَامُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَاهَازِمَ الأَحْزَابِ، اِهْزِمِ الْيَهُوْدَ الْغَاصِبِيْنَ الْمُحْتَلِّيْنَ، وَانْصُرْناَ عَلَيْهِمْ وَزَلْزِلْهُمْ
“Ya Allah, sesungguhnya kami menjadikan-Mu sebagai pendinding (kepada musuh2) kami, dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka.Ya Allah, wahai Tuhan yang menurunkan al-Kitab (al-Quran), dan wahai yang menjalankan awan, dan wahai yang menghancurkan tentera al-Ahzab, hancurkanlah Yahudi perampas dan penjajah dan bantulah kami ke atas mereka dan goyangkanlah mereka”

اللّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَشَتِّتْ كَلِمَتَهُمْ وَخَالِفْ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْباً مِنْ كِلاَبِكَ يَا قَهَّار، يَاجَبَّارَ وَيَا مُنْتَقِمَ , اللّهُمَّ أَنْزِلْ بِهِمْ بَأْسَكَ الَّذِيْ لاَ يُرَدُّ عَنِ الْقَوْمِ الْمُجْرِمِيْنَ
“Ya Allah, binasakanlah kesempurnaan mereka, dan pecah-belahkanlah jemaah/kesatuan mereka, dan gagapkanlah perkataan mereka (melalutkan mereka), pecah belahkanlah hati-hati mereka, goyahkanlah pendirian mereka, dan hantarkanlah anjing ke atas mereka dari anjing-anjing suruhanMu, wahai Tuhan Yang Maha Gagah Perkasa, wahai Tuhan Yang Maha Berani, wahai Tuhan Yang Maha Berdendam, Ya Allah, turunkanlah ke atas mereka kemarahan dan kesakitan daripadaMu yang tidak mampu ditolak oleh kaum yang berdosa”








Wednesday, January 14, 2009

Siapa Yahudi? Siapa Orang Islam?

SEJAK 18 hari ini seluruh dunia meratap gara-gara kezaliman Israel. Tentera Zionis terus-menerus mengebom, mengganyang rakyat Palestin. Israel, nampaknya terlalu berkuasa.

Bukan untuk mengulas panjang mengenai peperangan berat sebelah pihak itu. Tapi sekadar ingin berkongsi dengan pembaca sekelian, siapa sebenarnya Yahudi ini dan mengapa mereka terlalu berkuasa.

Kita harus kaji secara akademik, ilmiah untuk mengetahui siapa mereka ini.

Saya amat tertarik dengan tulisan articel yang saya baca di tranungkite mari kita mentelaah bersama dimulakan dengan  seorang penulis bebas, yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) Pakistan, Dr. Farrukh Saleem (rujuk http://www.masada2000.org/Powerful-Jews.html) mengenai soal tersebut. Jadikanlah tulisan itu sebagai tatapan dan renungan kita semua - ke mana kita dan ke mana umat Islam harus pergi selepas ini. Dan, siapa yang harus disalahkan? (Nota: Sedikit sebanyak ia juga akan menjawab surat-surat dan SMS yang dihantar untuk ruangan Forum, Utusan Malaysia yang meminta ditonjolkan apakah produk di belakangnya Yahudi).

Begini tulisan beliau:

Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini berlaku?

Siapa mereka ini?

Nabi Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai 'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian.

Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis. Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz menang Hadiah Nobel kerana kajian mengenai transmisi neuromuskular.

Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis). Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia).

Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.

Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.

Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik); Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).

Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).

Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).

Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).

Dermawan dan penyangak mata wang, George Soros ialah Yahudi. Dia menderma AS$4 bilion untuk membantu ahli sains dan universiti serata dunia.

Walter Annenberg menderma untuk membina ratusan perpustakaan berjumlah AS$2 bilion.

Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan Boris Becker adalah Yahudi.

Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi?

Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi.

Mempengaruhi

Washington yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat, mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa. Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan 'membuat apa saja' demi Israel.

Tahukah lagi bahawa William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik. Dia ialah Yahudi.

Jadi, mengapa mereka ini terlalu berkuasa?

Jawapannya: Pendidikan, pelajaran, ilmu.

Mengapa umat Islam terlalu lemah?

Dianggarkan 1,476,233,470 Muslim di atas muka bumi Allah ini. Satu bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di Amerika. Setiap lima insan manusia ialah Muslim. Setiap seorang Hindu ada dua orang Islam, setiap seorang Buddha ada dua orang Islam dan setiap seorang Yahudi ada beratus orang Islam. Mengapa orang Islam terlalu lemah?

Ini jawapannya: Terdapat 57 negara anggota OIC dan jika dicampur semua cuma ada kira-kira 500 buah universiti; atau sebuah universiti untuk setiap tiga juta orang Islam.

AS mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004, Shanghai Jiao Tong Universiti membuat kajian 'Kedudukan Akademik Universiti-universiti Dunia' - dan menakjubkan - tiada satu pun universiti-negara Islam yang berada di puncak 500.

Data yang dikumpul dari UNDP, tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara itu mempunyai 100 peratus celik huruf. Negara majoriti penduduk Islam, purata kadar celik huruf ialah sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus semuanya celik huruf.

Sekitar 98 peratus penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurang sekolah rendah, sementara hanya 50 peratus di negara majoriti Islam. Sekitar 40 peratus penduduk di negara maju memasuki universiti, sementara hanya 2 peratus di negara majoriti Islam.

Negara-negara majoriti Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap (per) sejuta penduduk. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta (berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per sejuta).

Negara Islam membelanjakan 0.2 peratus daripada KDNK untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebaliknya, di negara maju membelanjakan 5 peratus daripada KDNKnya.

Kesimpulan: Dunia Islam kurang keupayaan untuk menghasilkan ilmu pengetahuan.

Akhbar harian yang dibaca oleh setiap 1,000 orang dan jumlah judul buku yang dibaca oleh setiap sejuta orang adalah dua angka tunjuk bagi menentukan sama ada ilmu pengetahuan disalurkan ke dalam masyarakat.

Di Pakistan, hanya ada 23 akhbar harian per 1,000 rakyat Pakistan sementara nisbah di Singapura ialah 360. Di UK, jumlah judul buku per juta orang ialah 2,000 sementara di Mesir ialah 20.

Kesimpulan: Dunia Islam gagal menyalurkan ilmu pengetahuan.

Yang menariknya, jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 buah negara ahli OIC ialah di bawah AS$2 trilion. Amerika sahaja, menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai AS$12 trilion, China AS$8 trilion, Jepun AS$3.8 trilion dan Jerman AS$2.4 trilion.

Pengeluar minyak yang kaya, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar secara rangkuman menghasilkan barangan dan perkhidmatan (rata-rata minyak) bernilai AS$500 bilion; Sepanyol sahaja menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai lebih AS$1 trilion, Poland AS$489 bilion dan Thailand AS$545 bilion.

Jadi, mengapa orang Islam tidak berkuasa dan orang Yahudi paling berkuasa?

Jawapannya ialah: Kurangnya ilmu. Kurangnya pendidikan dan kurangnya pelajaran.

Wednesday, December 31, 2008

SELAMAT TAHUN BARU...................

Wahhhhh... terasa lama tak meng update blog nie... almaklumlerrr bzzzz sangat sekang niee ... apapun selamat melangkah ke gerbang tahun baru hijrah 1430 dan juga tahun baru  2009,jangan hanya tahun berganti tetapi diri tidak berubah he he he .... berubahler ke arah yang lebih mantap untuk tahun yang mendatang ini .... seruan untuk ku seruan untuk sesiapa yang membaca blog ini ....kerana impak maksima perubahan ini akan memberikan faedah kepada yang berubah kearah yang positif ,dan sebaliknya akan menyebabkan kelunturan dan kemunduran kepada yang semakin tengelam dengan layar kehidupan yang berpaksikan khayalan semata ...,huhuhu yang nampak didekat rupanya masih jauh tuk mengapainya ..... namaun setiap khayalan akan dapat juga diraih menjadi suatu yang realiti jika langkah hari ini diimeginasikan untuk mendapatkannya ....insyallah tak hari ini esok tak esok lusa impian kan jadi kenyatan .... teruskan perjuangan .....

Thursday, December 18, 2008

Kembalinya Muiz El Misry


17-12-08 tarikh tamatnya percutian Muiz el Misry di Malaysia , sekali lagi ia terbang mengembara menemankan ayahnya mencari ilmu di ardulqinanah .... walaupun singkat pertemuan bersama nya dek masa yang terbatas , namun adalah juga sedikit terasa pemergianya, lebih lebih lagi bila terlihat kereta yang membantunya bertatih melangkah terbiar losong ... entah bila akan bersua kembali ... semoga kembara ilmu yang disertai muiz akan memberi kesan yang positif, semoga ketabahan dan kesungguhan Abi & kecekalan yang ditunjukan oleh Ummienya akan diwarisi oleh Muiz el Misry suatu hari nanti ......  dan semoga Muiz menjadi sumber inspirasi kepada abie & umienya untuk menempuh segala onak dan duri didalam kembara ilmu  ....amin.... 

Friday, December 12, 2008

Coretan Ringkas Aidiladha

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha ,sibuk 2,3 hari ini , tak sempat pulak nak post maklumat terkini walaupun sebenarnya banyak yang boleh dikongsi dan di ceritakan ,apa pun yang penting masih ada kudrat dan keinginan ditambah dengan kesempatan untuk mencoretkn sepatah dua kalam . sekadar ucapan SELAMAT HARI RAYA AiDILADha pun sudah memadai rasanya ... daripada senyap tak ada berita .....huhuhu... 
Seawal jam 3 pagi dah dikejutkan dengan bunyi deruman lori ,melalui intipan dari cermin tingkap rupanya lori yang membawa lembu dan kambing dah tiba ,waktu tu hujan pun dah turun didengar bagai renyai renyai namun dirasakan hujan yang sebegini akan turun berterusan .... dihati ini berdoa aagar seawal pagi akan berhenti agar hari esok program menyembelih tidak ada kesukaran dan berjalan lancar ,,yer lah bayangkan kalau 10 ekor lembu dan seekor kambing akan direncanakan bakal tumbang ... kalau cuaca baik kan semua akan berjalan lancar....dipendekan cerita sedari awal penyembelihan sehingga lembu yang terakhir hujan tetap turun ... jadi tertempa lah sejarah berkorban dalam hujan tahun ini.... seronok rupanya .walau hujan turun tapi kehadiran petugas tidak menghampakan malah dapat dibanggakan ...cuma sayang tiada paparan yang dapat ditunjuk kepada pembaca kerana tak sempat nak direkod kan peristiwa sejarah ini.... hujan jadi serba salah palak nak kuarkan kamera takut terjatuh ker atau perkara tak diingini tertimpa pada kamera ...lagipun memang sibuk ler waktu tu ... untuk akan datang rasanya elok di tugaskan sesaorang untuk merekod segala peristiwa yang berlaku .....
dipendekan cerita lagi jam 2 ptg baru siap semua sekali daging2 tu diagih agihkan kepada yang berhak.... aku dah penat lerrrr nak citer panjang .....salammmmm
 

blogger templates | Make Money Online