PERHATIAN
 : BLOG INI AMAT SESUAI DILAYARI DENGAN MENGGUNAKAN: 1.GOOGLE CHROME atau 2.MOZILA FIREFOX. klik untuk muat turun.

SEKADAR HIBURAN " sila muat turun untuk kualiti suara yang lebih jelas "

SEMBANG SANTAI LIVE ONLINE

Create a Meebo Chat Room

Tribute Allahyarham Ust Asri Ibrahim

Thursday, February 5, 2009

ITULAH POLITIK TIDAK MALU ......

Oleh Zaharuddin Abd Rahman 
http://www.zaharuddin.net/ 

Macam-macam boleh jadi dalam politik. Itulah kata-kata yang sering kita dengar apabila berlaku sesuatu yang pelik dalam perkembangan politik, sama ada politik di dalam Malaysia, mahupun di peringkat antarabangsa. 

ITULAH POLITIK 

Kelmarin diberitakan Iran melancarkan satelit mereka yang pertama, tujuannya adalah semata-mata untuk perkembangan komunikasi. Namun berita-berita di UK sudah bersangka buruk dengannya, dengan memberikan gambaran Iran akan menggunakannya untuk tujuan ketenteraan. Isu tenaga nuklear sudah lama dibincangkan. Peliknya, mengapa Israel dibenarkan menggunakan dan menyimpan senjata nuklear, demikian Amerika, dan lain-lain Negara besar dibenarkan tanpa banyak soal boleh menyekat kebebasan sebuah Negara lain seperti Iran dan Korea. Mudah jawapannya, ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', orang kata ‘tidak adil' dan lain-lain. 

Apabila terang-terang, Yahudi Zionis melakukan jenayah kemanusiaan apabila membunuh begitu ramai orang awam di Palestin. Mereka tidak dikutuk teruk, Presiden Obama dan sekutunya seolah-olah BUTA, dan terus mengemukan hujjah-hujjah yang kelihatan ‘amat kurang aqal' dan melucukan. Orang akan kata, ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil' dan lain-lain. 

Apabila beberapa pemimpin dan ahli sebuah parti Islam yang menentang habis-habisan sebuah parti kebangsaan yang disebutnya kafir dan munafik. Tiba-tiba melompat ke parti yang dikatakan munafiq. Juga dengan ‘hujah tahap tadika'. Orang kata ..ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil' dan ‘jilat ludah sendiri' dan lain-lain. 

Apabila seorang bekas ketua gerakan orang muda sebuah parti yang mendokong ‘perubahan' dan anti rasuah, dahulunya HEBAT ya AMAT HEBAT membantai beserta sumpah dan kotak-kotak bukti rasuah orang daripada parti yang ditentangnya. Tiba-tiba tidak semena-mena membawakan hujjah ‘tadikal lalu melompat kepada parti lawannya. Orang kata..ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil', ‘jilat ludah sendiri', ‘tiada maruah' dan lain-lain. Pedulilah apa orang nak kata. 

Seorang wakil rakyat melompat parti dari A kepada parti B, dalam tempoh beberapa hari, apabila dirasakan keadaan tidak selamat bagi dirinya, melompat semula kepada parti A. Dikemukan beberapa hujjah ‘t tadika' juga. Lalu dirasakan dirinya telah berjaya menjustifikasikan tindakan ‘beraqal tadikanya'. Orang kata, ITULAH POLITIK! 

Beberapa orang lagi, tidak melompat ke parti lain, tetapi melompat juga, melompat ke parti tiada cap. Diri sedang diteliti akibat kes-kes rasuah, termasuk rasuah seks. Tetapi seolah gentleman yang bijak pandai, menjustifikasikan tindakannya dengan hujah ‘tadika'. Tidak segankah mereka? Orang kata, ITULAH POLITIK! Tiada yang malu dalam politik? Semua boleh buat asalkan boleh manfaat untuk diri, peduli orang lain.? 

BODOH SANGAT RAKYAT DI MATA AHLI POLITIK? 

Tidak sedarkah individu-individu seperti yang disebut di atas, betapa hina mereka di sisi mata orang ramai?. Atau terlalu bodohkah orang ramai di mata mereka.? sehingga boleh didatangkan dengan hujjah-hujjah versi ‘tiada aqal', lalu tersenyum lebar menyangka semua orang masih menghormatinya luar dalam. 

Sedangkan manusia yang reti, faham dan ‘ada aqal', memandangkan dengan pandangan busuk. Orang busuk sedang berjalan, orang busuk sedang bercakap, sedang menghadiri mesyuarat. 

Kita kerap mengganggap POLITIK sebagai tiket atas segala kepelikan hasil perlakuan orang politik. 

Seeloknya, jangan lagi diletakkan beban dan sebab kepada POLITIK apabila ingin melakukan sesuatu yang TIDAK BERMORAL, TIADA MARUAH dalam industri politik. Beritahu sahaja sedemikian. 

"Saya rasuah sana sini, tipu sana tipu sini, buat ini, buat itu, lompat sana, lompat sini sebenarnya KERANA SAYA INI TIADA MARUAH, TIADA MALU DAN TAMAKKAN DUNIA " 

Amati sekali lagi bagaimana politik Khalifah Umar al-Khattab r.a dalam tulisan saya sebelum ini. Betul, banyak dilakukan atas dasar politik, tetapi politik yang didasari malu terhadap Allah swt dan sedar rakyatnya punyai hak besar untuk meneliti dirinya. 

Adakah ahli politik tidak perasan bahawa seribu satu macam jenayah mereka sebenarnya adalah 'open secret' di kalangan rakyat.? Cuma gagal di buktikan di mahkamah dunia sahaja, kerana itu masih bebas. 

Lihat sahaja rumah ahli politik sebelum dan selepas, padahal gaji dan elaun sebagai ahli parlimen Malaysia hanya sekitar RM 10,000 dan ADUN sekitar RM 8,000. 

Lihat pula rumah dan harta pegawai atasan kerajaan termasuk Polis. Cubalah jenguk dan tinjau rumah mereka dan lihat gaya hidupnya. Jika ada Umar al-Khattab, pastinya tercabut semuanya. 

KERAJAAN NEGERI PERAK 

Semasa saya menulis artikel ini, belum ada keputusan dari pihak Sultan sama ada untuk memperkenankan pembubaran DUN atau tidak. Namun, adalah sangat bijak jika diperkenankan pembubaran bagi menyapu bersih muka-muka yang tiada ‘malu' DENGAN PERLAKUAN SALAH MEREKA atau yang juga sedang merendahkan minda dan hak rakyat di negeri mereka. 

Sangat elok kiranya, rakyat diberi peluang semula untuk memilih pemimpin mereka agar individu tiada parti diganti dengan yang ada parti. Yang melompat-lompat diganti dengan yang tidak melompat. Amat diharap DUN boleh dibubarkan. Ia saya kira keputusan yang terbaik di mata pemerhati awam khususnya saya. 

Bagi saya, kes di Perak sebenarnya membuktikan betapa ‘TIDAK TAHU MALUNYA' sebahagian orang-orang politik di Malaysia. Seolah tidak lagi mereka mengendahkan perasaan, kebencian dan minda rakyat. 

Tiada lagi malu untuk berbuat apa sahaja atas nama politik. Yang penting boleh dijustifikasikan walaupun dengan hujjah tidak beraqal. 

INILAH POLITIK TIDAK TAHU MALU namanya dan politik hina dan membawa kepada kehinaan dan tiada maruah. Nabi s.a.w pernah menyebut kita PERLU MALU, kerana malu adalah agama, dengan terang lagi jelas baginda menyebut :- 

إن مما أدرك الناس من كلام النبوة الأولى إذا لم تستح فاصنع ما شئت 

Erti : Sesungguhnya, perkara yang telah diketahui ramai dari perkataan nabi-nabi awal dahulu adalah : Apabila kamu tidak lagi mempunyai perasaan malu, kamu buatlah ( akan berbuat) apa sahaja ( Riwayat Al- Bukhari) 

Dan satu lagi : 

الحياء خير كله 

Ertinya : Perasaan malu itu semuanya (membawa) kebaikan (riwayat Muslim) 

dan sebuah lagi hadis menjelaskan :- 

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( استحيوا من الله حق الحياء ) ، قلنا : يا رسول الله إنا نستحيي والحمد لله ، قال : ( ليس ذاك ، ولكن الاستحياء من الله حق الحياء أن تحفظ الرأس وما وعى ، والبطن وما حوى ، ولتذكر الموت والبلى ، ومن أراد الآخرة ترك زينة الدنيا ، فمن فعل ذلك فقد استحيا من الله حق الحياء ) 

Ertinya : Ibn Mas'ud menceritakan : Rasul bersabda : berasa malulah dengan Allah SWT DENGAN sebenar-benar erti malu, sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah pun berasa malu itu Alhamdulillah, 

Baginda menjawab : Bukan demikian, tetapi malu kepada Allah swt yang sebenar-benarnya adalah dengan menjaga kepalamu dan setiap apa yang di dalam pemikiranmu, menjaga perutmu dan setiap apa yang diingininya, dan perbanyakkan ingatan kepada mati dan kehancuran, barangsiapa yang inginkan Akhirat, bakal meninggalkan perhiasan dunia (tidak ditipu dengan kepentingan dunia), seseiapa yang berbuat demikian seperti disebut di atas, mereka telah malu kepada Allah swt dan melaksanakan hak ‘malu' ( Riwayat At-Tirmidzi ) 

AKHIRNYA 

Akhirnya, buat diri saya dan semua warga Malaysia di mana jua kita berada, berperanan dalam apa jua jawatan dan kapasiti. Malulah dengan Allah swt, diri sendiri, orang ramai. malu dalam kejahatan, bukan malu untuk melakukan kebaikan. 

Janganlah bermain dengan POLITIK TAK TAHU MALU!! Janganlah menjadikan tindakan TIDAK TAHU MALU sebagai strategi politik. Kerana ia memalukan kami untuk mempunyai pemimpin yang TIDAK TAHU MALU. 

Sekian 

Zaharuddin Abd Rahman 
http://www.zaharuddin.net/ 
4 Feb 2009 ( 6.58 malam waktu UK)

No comments:

 

blogger templates | Make Money Online