PERHATIAN
 : BLOG INI AMAT SESUAI DILAYARI DENGAN MENGGUNAKAN: 1.GOOGLE CHROME atau 2.MOZILA FIREFOX. klik untuk muat turun.

SEKADAR HIBURAN " sila muat turun untuk kualiti suara yang lebih jelas "

SEMBANG SANTAI LIVE ONLINE

Create a Meebo Chat Room

Tribute Allahyarham Ust Asri Ibrahim

Sunday, February 22, 2009

YA HATI PENUH DENGAN RASA

Dulu saya pernah gak time temenung2 tertulis beberapa kata kata yang penuh makna bagi yang tahu mengamatinya ler, tapi mungkin macam berbelit belit bunyinya namun masih ada makna bagi yang terasa ia bermakna.....

[1]

===============================================

" aku semalam hari ini esok dan lusa "
===============================================

begitu susah mengenangkan masa silam,
kerana ia bukan andaian,
bukan diada adakan,
namun ia adalah apa yang telah berlaku,
dan telah berlalu........

bagaimana aku disini ?
siapa aku disini?
kemana aku nanti?
kepada siapa hendak ku tanyakan?
atau saja aku andaikan jawapan.....

aku pernah berada di semalam
namun aku berada di hari ini..
ya aku bukan disemalam lagi..
kerana nyatanya aku di hari ini..
dan aku belum tentu esok..
hakikatnya .....
aku telah ada di semalam dan hari ini..
hakikatnya juga..
aku belum tentu di esok dan lusa.....

sedar tak sedar masa berlalu
namun aku tetap di sini
menempuhi masa yang terus berlalu..
kekadang mengeluh juga
masa di bazir entah kemana
kerana takut nanti ditanya
kemana masa diguna?
untuk apa masa diguna?
bolehkan aku menjawabnya ......


=======================================
Wrote : Muzaini Hj Badi
Time : Petang Khamis

Place : Tanta imarah fookkhalis ma'moon street,

Date : 07/08/2003 ============= 09 JamadilThanie 1424h

=======================================

[2]

=======================================

"Anganan,Khayalan,Impian,perasaan"
=======================================

jangan bazirkan masa begini dengan begitu,
kerana ia membawa sesalan nanti,
angan angan itu lah khayalan,
dirasa didekat namun dijauh,
bila dijauh rasa didekat,

dirimu jangan dibiar ,
mengejar khayalan ,
kerna khayalan itu kemabukan fikiran,
mencari keseronokan lewat khayalan,
bukanlah penyelesaian,

perasaan, khayalan, angan angan,
jiwa kusut ......kusut....kusut..
hati pun gundah gulana,
otak serabut.....serabut......serabut
anganan,khayalan mengusik perasaan....

terkejut lewat tersedar,
hilang lenyap khayalan,
lenyap hilang anganan ,
tinggal kenangan .....
sesal tersedar awal....
kerana dah biasa dengan anganan khayalan...

merubah khayalan,  anganan lewat perasaan,
didatang impian,
mengharap impian ....
jangan duduk diam...
nyatakan impian lewat usaha..
usaha pelaksana impian,

impikan ini begini,
supayaa tak jadi begitu,
banyakan impian laksanakan usaha,
tingalkan anganan dan khayalan,
kerna anganan kahayalan bukan impian,
ia cuma mainan perasaan...................

jangan biarkan perasaan dimain mainkan
nanti menjadi sakit...
sakitnya hati yang bukan kepalang...
akibat dimainkan oleh perasaan...
kerana hati bukannya tidak punya apa...
tetapi hati penuh dengan rasa....



------------------------------------------------------------------

Wrote by : Muzaini Hj Badi,
Time : 3.30 pagi yang tenang,
Place : Tanta imarah fookkhalis ma'moon street,
Date : Malam selasa 04/07/2003 ----------07 Jamadilthanie 1424
to : to me
------------------------------------------------------------------






 



 

 

Sunday, February 8, 2009

Mari Mencari Kejernihan Cara Berfikir

Kami Perjuang Usul, Anda Dakwah
Remeh & Ranting ?

Oleh : Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Beberapa bulan lepas saya membaca satu berita yang menggembirakan jika dilihat dari sudut pandang Islam. Namun saya yakin ia berita yang negatif jika dilihat dari sudut nafsu wanita moden yang sentiasa ingin ‘bebas' dalam cara pemakaian mereka, kononnya di atas nama ‘hak kebebasan'.

Berikut adalah beritanya :-

KOTA BHARU 23 Jun - Larangan pemakaian gincu dan kasut tumit tinggi ialah antara arahan yang ditetapkan kepada pemegang lesen dan pekerja di dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Shafie Ismail berkata, arahan itu bagi mengelak berlakunya anasir jahat seperti rogol dan zina selain menjaga maruah serta peribadi muslimah di negeri ini.

Katanya, wanita muslimah dilarang memakai solekan yang jelas dilihat seperti gincu dan tidak dibenarkan memakai kasut bertumit tinggi yang mengeluarkan bunyi. 

....Sekiranya hendak memakai kasut bertumit tinggi, tumitnya haruslah diperbuat daripada getah,'' katanya menerusi pekeliling yang dikeluarkan kepada wanita beragama Islam yang bekerja mengendalikan premis makanan dan bukan makanan di dalam kawasan MPKB-BRI. 

Bagaimanapun Shafie tidak dapat dihubungi Bernama untuk mendapatkan penjelasan terperinci berkenaan larangan pemakaian gincu itu. 

Selain itu, beliau berkata, antara etika lain yang perlu dipatuhi ialah memakai tudung yang labuh, tidak jarang dan menutup dada, memakai baju berlengan panjang sehingga ke pergelangan tangan, memakai baju labuh dan longgar serta memakai sarung kaki. 

Shafie berkata, kegagalan mematuhi peraturan dan etika yang ditetapkan itu akan dikenakan kompaun sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) 1986 dan jika sabit kesalahan boleh dikompaun tidak lebih RM500. - BERNAMA.

 

Saya mengucapkan tahniah kerana pihak berwajib yang bersungguh  melaksanakan etika sebegini. Namun sudah pasti di zaman kerosakan akhlak dan kebanjiran masalah sosial ini, pelaksanaan etika ini akan dilihat PELIK, JANGGAL, ZALIM dan pelbagai lagi.

Bagi mereka yang ingin membaca hujjah lanjut saya dalam hal ini, anda boleh membaca di artikel berikut :-

1)      Aurat Wanita  : Apa Sudah Jadi?

2)      Dilema Aurat Wanita Bekerja & Suami Nusyuz

3)      Suami & Lelaki Dayus

Bagi mereka yang memahami Islam dari sumber yang sohih, ia tidak pelik sama sekali malah tepat sekali terutamanya di waktu wanita keluar bekerja.

Sabda Nabi s.a.w :-

إن الإسلام بدأ غريبا وسيعود غريبا كما بدأ

Ertinya : Sesungguhnya Islam dahulu datanag dalam keadaan asing, dan ia akan kembali semula dalam keadaan yang dilihat asing" (Riwayat Muslim)

Al-Qadhi ‘Iyadh mengulas bahawa di waktu Islam muncul dahulu, ia hanya diamalkan oleh sebilangan kecil pengikut, justeru ajaran-ajarannya dilihat begitu pelik dan asing dari kebiasaan masyarakat Jahiliyyah, kemudian Islam tersebar luas di seluruh dunia. Sesudah itu, semakin ramai yang akan culas dari ajaran Islam sehingga Islam tidak diamalkan kecuali oleh sedikit manusia sahaja. Tatkala itulah kumpulan yang ingin dan telah mengamalkan Islam AKAN DILIHAT BEGITU PELIK oleh si Jahil, munafiq dan kafir yang merupakan majoriti.
 
Inilah yang saya kira akan berlaku kepada usaha kerajaan Kelantan yang ingin melaksanakan etika aurat ini. Pasti ramai yang akan mengecilkannya dari kelompok yang telah saya sebutkan di atas.

ISU REMEH SAHAJA

Tidak kurang juga ada yang mengutuk usaha Kelantan ini sebagai usaha yang sangat kecil dan meninggalkan priority. Tidak berbaloi, ranting dan lain-lain. Jika berjaya, ia kejayaan remeh, demikianlah kesimpulan yang lahir dari minda si pengkritik.

Saya teringat, ketika saya muncul secara ‘live' di RTM 1 sekitar sebulan lepas membicarakan persoalan harta dan pendapatan syubhat dalam urusan kewangan harian, ada seorang pemanggil yang saya tidak pasti ingin bertanyakan soalan atau memberikan pandangan. Individu itu berkata :

"Bukankah isu yang sedang kita bincangkan ini hanya isu ranting, malah banyak lagi isu besar yang patut dibincang..bla bla bla.."

Itulah point utama komennya, ia seolah-olah tidak puas hati kerana kononnya kami membuang masa membincangkan perkara ranting, meninggalkan perbincangan hal besar dan usul, mungkin seperti isu hudud, ISA, sekular, politik dan lainnya.

Panjang jika saya ingin mengulas lengkap, namun cukuplah saya katakan, adakah anda faham  bagaimana penentuan sesuatu hukum itu sebagai ranting atau usul ? Zhonni atau Qati'e ?

Isu harta haram sebenarnya bukan isu ranting bahkan ia adalah tergolong dalam isu usul dan kekal pengharamannya sehingga hari kiamat. Malah ia memberI kesan kepada seluruh ibadah, sistem iman dan nilai seseorang sebagaimana hadis nabis.a.w yang telah banyak saya perkatakan sebelum ini. Demikian juga isu aurat dan zina.

Malah jika sesebuah jemaah Islam atau parti politik islam itu yang berjuang habis-habisan untuk perkara besar (menurut mereka) iaitu kerajaan Islam hingga berjaya memenagni kerusi dan tampuk pemerintahan, namun jika sistem kewangannya, pelaburan kerajaannya, simpanannya masih terlibat dengan riba. Saya kira perjuangan mereka masih dikira gagal kerana sesiapa yang terlibat dengan riba adalah dikira berperang dengan Allah dan RasulNya.  

Benar, saya selalu mendengar kutukan dari satu pihak terhadap usaha kebaikan Islam yang cuba dilakukan oleh pihak lain hanya kerana kononnya ia isu kecil dan ranting. Lalu diikuti kutukan itu dengan merendah-rendahkan tugasan dan usaha yang dilakukan. Ia tidak sama sekali dari cara Islam.
 

TIADA DAKWAH MELAINKAN DENGAN BERPOLITIK KEPARTIAN?

Sekali lagi saya nasihatkan, mereka yang berjuang Islam melalui sesuatu paltform, akan memperkecilkan usaha dakwah pendakwah LAIN YANG TIDAK melalui wadah yang sama dengan mereka. Sebagai contoh, kerap kita lihat kejumudan minda beberapa individu yang berjuang Islam melalui politik kepartian, lalu diremeh dan dikutuk semua yang tidak berjuang Islam melalui politik secara terangan seperti mereka. Dicemuh kononnya ‘tercicir' dari jalan dakwah. Apa mereka ingat dakwah itu khas buat mereka, tertipu sungguh mereka dengan permainan perasaan oleh Syaitan.

Justeru, jika anda ingin berjuang menegakkan politik Islam melalui wadah politik kepartian, silakan. 

Namun jangan sesekali memandang rendah individu yang berjuang untuk Islam melalui wadah penulisan blog, buku, novel, cerpen, perubahan sikap, kartun, nasyid dan lain-lain. Masing-masing mempunyai peranan dan hanya Allah yang mengetahui siapakah di antara mereka yang lebih ikhlas dan diterima amalnya. 
Selain itu, ingin saya tegaskan sikap sombong dan besar diri beberapa individu yang ‘kononnya' merekalah juara dalam isu besar dan usul sehingga memperkecilkan kerja dan usaha baik orang lain. Sikap ini perlu dijauhinya sama sekali. Kononnya mereka adalah 'hero' sebenar kerana berdepan dengan kezaliman, penjara, mudarat dibuang kerja dan lainnya, sedangkan pejuang lain dikatakan hanya bermain-main di tepi-tepi tanpa keberanian. 

Sedarilah, merasa hero dan berani dalam berjuang adalah pemusnah kepada segala amalan, ia tergolong dalam perasaan ujub dan riya yang menghilangkan berkat dan pahala.

Tidak sedarkah mereka ia satu penyakit ‘ujub dan merasa diri hebat dengan jalan perjuangan itu. Memperjuangkan Islam punyai cara yang amat luas dan pelbagai, tidak perlu semua mengikuti rentak dan cara yang sama, kaedah perlu di pelbagai sesuai dengan kumpulan sasaran.

Bahkan berjuang Islam melalui politik kepartian itu sendiri amat luas skopnya, dan bukan hanya dengan berterus terang sebagai ahli atau pimpinan parti tertentu. Berceramah di musim pilihanraya atas pentas, berdemontrasi aman, menyerah memorandum, mengulas isu politik kepartian dengan terus terang dan lain-lain atas nama parti. Inilah sahaja yang dikategorikan 'berani' dan 'berjuang Islam' oleh segelintir mereka.

Kita dapat lihat di zaman ini, begitu ramai ulama berperanan walaupun tanpa komit dengan parti politik kepartian tertentu. Seperti Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi, Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhayli, Dr Ramadhan Al-Buti dan ramai lagi. Buku tulisan mereka, kertas kerja pembetangan mereka tersebar seluruh dunia dan dimanfaatkan oleh kawan dan lawan, berparti dan tidak berparti.

Tidak dinafikan ramai juga yang mengambil jalan politik kepartian seperti Syeikh Dr. Abdullah Azzam, Dr Muhd Abu Faris, Syeikh Dr Hammam Sa'id dan lain-lain. Justeru kedua-duanya cara dan kaedah punyai faedah dan kelebihan masing-masing, menafikan usahakan kedua-dua cara adalah KEJAHILAN yang menyedihkan.

SEMUA MULA MENDABIK DADA

Saya bimbang sampai satu ketika, masing-masing ingin mendabik dada, isu yang dipilihnya adalah yang paling awla (tinggi priority),

Pejuang isu aqidah mendabik dada mendakwa perjuangannya paling kukuh dan awla, tanpa aqidah semua rosak, sehinggalah dia tenggelam dalam kafir mengkafir,

Pejuang fiqh kewangan juga mungkin dilambung ujub kononnya isu riba dan harta halal amat penting,

Pejuang politik islam dan hudud sudah tentu merasa semua yang baik boleh dibina melalui kuasa politik, justeru perjuangannay maha penting,

Pejuang perubahan sikap turut mungkin mendabik dada, tanpa perubahan sikap semua tewas,

Pejuang isu makanan halal pula mungkin bersuara, tanpa makanan halal kita akan hancur dengan doa tidak maqbul,

Pejuang isu wahabi, salafi dan khalafi pula tenggelam dalam isu bid'ah, aat sifat, tajsim,sifat dua puluh , tauhid yang tiga yang didakwanya maha penting,

Pejuang mengkafirkan ulama dan usaha ulama silam turut mungkin mendakwa sumbangan terbesar kernaa bimbang buku ulama terbabit akan menyelwengkan umat,

dan macam-macam lagi.

Saya tidak meremahkan mana-mana pun namun  Apa yang penting untuk difahami, biarlah setiap orang berjuang dengan cara mereka. Anda tidak tahu manakah yang lebih utama, berjasa dan lebih ikhlas di sisi  Allah swt. Ada yang berjuang Islam melalui politik, teruskan. Ada yang mampu mengambil

* jalan akademik,

* ada yang ikuti jalan NGO,

* korporat,

* motivasi pelajar,

* pembinaan program di  sekolah,

* mengasaskan tadika islam,

* menyediakan perniagaan dan makanan halal dan lain-lain.

 
Setiap satu melengkapi antara satu sama lain. Mana yang terbaik di sisi Allah?, ia bergantung kepada dalaman, usaha bersungguh dan keikhlasan  si pendakwah.

Allah swt berfirman :-

قُلْ كُلٌّ يَعْمَلُ عَلَى شَاكِلَتِهِ فَرَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَنْ هُوَ أَهْدَى سَبِيلاً

Ertinya : Katakanlah: ""Tiap-tiap orang berbuat amalan menurut keadaannya masing-masing"". Maka tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya" ( Al-Isra : 84 )

Ibn Abbas menyatakan erti "syakilatihi" dalam ayat ertinya " sudut masing-masing", manakala sebahagian lain mengatakan berdasarkan niat masing-masing( At-Tabari, 15/154 ; Al-Qurtubi, 10/322)

Buat pihak yang suka dan berhasrat untuk mengutuk kerja dan usaha baik orang lain, sedarilah anda sebenarnya sedang MELAKUKAN DOSA dan menjauhkan orang dari Islam dan hidayah Allah.  Disebutkan dalam sebuah hadis :-

‏لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن ‏ ‏تلقى أخاك ووجهك منبسط

Ertinya : "Janganlah kamu mencela apa jua perkara kebaikan (yang dilakukan) , walaupun hanya sekadar seseorang bertemu saudaranya dengan wajah yang senyum dan riang.." ( Riwayat Ahmad , dari hadis Jabir , no 19717 )

Justeru, apa jua kebaikan yang mampu diusahakan oleh seseorang, kita ditegah untuk memperlecehkannya. Yang penting juga adalah setiap kita bukan Malaikat yang mengetahui setiap gerak geri, niat dan usaha yang dilakukan oleh orang lain untuk Islam. Oleh demikian, tidak adil sama sekali dengan ringan mulut kita menudingjari mendakwa si fulan telah tidak berjuang untuk Islam kerana sibuk dengan bisnesnya, motivasinya, syarikatnya, sekolahnya, kerjayanya dan lain-lain.

KIta sebenarnya tidak tahu secara tepat akan usaha dakwah yang dilakukan oleh orang lain, disebabkan sebahagian usaha untuk Islam mungkin dilaksanakan secara kelompok kecil, dan sebahagian yang lain pula tiada publisitinya.

Akhirnya tahanlah diri dari  mudah bersangka buruk dan perhatikan tugas dan keikhlasan niat KITA SENDIRI  dalam berjuang untuk kebaikan Islam, dan kurangkan 'menyibuk' dengan kutukan kepada individu lain.

APA SUMBANGAN KITA? SEJAUH MANA KEIKHLASAN KITA ,  SEBELUM MEMPERTIKAIKAN SUMBANGAN ORANG LAIN.

Sekian

ZaharuddinAbd Rahman

www.zaharuddin.net

Thursday, February 5, 2009

MASJID AL AQSA



Masjid kedua tertua dan ketiga tersuci di dunia adalah Masjidil Aqsa (Masjid Al-Aqsa). Masjid itu dibangunkan di atas lokasi Kenisah Sulaiman atau Haykal Sulaiman dan termasuk di antara tiga masjid yang perlu dikunjungi oleh kaum Muslim sesuai dengan anjuran Nabi Muhammad s.a.w. Keutamaan Masjidil Aqsa ini didasarkan daripada sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Janganlah kamu merasa berat untuk mengadakan perjalanan ke tiga masjid: Masjidil Haram, Masjidku ( Masjid Nabawi ) dan Masjidil Aqsa. Solat di Masjidil Haram lebih utama dari 100,000 kali di tempat lain kecuali di Masjidil Aqsa.” ( Riwayat ad-Darimi, an- Nasa’i, dan Ahmad)

Masjidil Aqsa disebut di dalam al-Quran yang berkaitan dengan peristiwa Israk Mikraj (Q.17:1). Nabi s.a.w. melakukan Israk (perjalanan malam hari) dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa sebelum bermikraj ke Sidratulmuntaha, sebagaimana dalam firman-Nya: “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami…” (Q.17:1).

Kalangan ulama berbeza pendapat mengenai istilah “aqsa”. Sebahagian berpendapat bahawa masjid ini disebut Aqsa (Jauh) kerana memang jauh dari Masjidil Haram di Mekah. Menurut pendapat lain, masjid ini disebut Aqsa kerana ia merupakan tempat yang bebas daripada segala jenis kotoran, tempat turunnya malaikat serta wahyu, dan kiblat para nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Pendapat lain lagi mengatakan bahawa Masjidil Aqsa bukan di Baitulmaqdis tetapi di Sidratulmuntaha. Alasan ini didasarkan pada fakta bahawa Haykal Sulaiman sudah dihancurkan pada tahun 70 SM oleh Kaisar Titus dari Rom.

Masjidil Aqsa berada dalam sebuah kompleks di kota Baitulmaqdis (rumah, tempat suci atau yang disucikan). Baitulmaqdis adalah sebutan bagi Jerusalem yang juga disebut al-Quds. Masjidil Aqsa didirikan di atas tanah bekas Haykal Sulaiman. Di dalam kompleks itu, Masjidil Aqsa terletak di selatan Kubah as-Sakhrah yang juga dikenali dengan nama Masjid Umar atau The Dome of the Rock. Masjid itu didirikan seperti di atas sakhrah (batu hitam yang menjadi landasan mikraj Nabi s.a.w) oleh Abdul Malik bin Marwan pada tahun 72 H/691 M.

Nabi Sulaiman a.s membangun tempat ibadah Yahudi (kenisah) di Jerusalem yang disebut Haykal Sulaiman. Bangunan yang terletak di Haram asy-Syarif itu lalu dihancurkan oleh Kaisar Titus pada tahun 70 SM. Khalifah Umar membina sebuah masjid (Masjidil Aqsa) di bekas lokasi Haykal Sulaiman itu. Kubah masjid itu berwarna perak. Masjidil Aqsa telah diperbaiki beberapa kali, namun bentuknya tetap tidak berubah.

Ketika menerima penyerahan Jerusalem (dahulu bernama Aelia) daripada penguasa Nasrani, Umar al-Khattab mendapati tompokan sampah di atas sakhrah. Beliau dan kaum Muslim membersihkan tempat itu. Lalu beliau berkata kepada Ka’b bin Ahbar (seorang Yahudi yang memeluk Islam), ”Menurut pendapat kamumu, di mana saya dapat mendirikan sembahyang untuk kaum Muslim?” Dia (Ka’b) menjawab, ”Dirikanlah di belakang(sebelah utara) sakhrah.” Umar pun membalas, ”Hai kau anak perempuan Yahudi, kau masih terpengaruh dengan kefahaman Yahudi! Sebaliknya, saya akan mendirikan masjid tempat di pusat lokasi Haykal Sulaiman kerana kami menguasai seluruh pusat kenisah itu.” Lalu, sebuah Masjid dibina di sebelah selatan sakhrah seperti yang dapat disaksikan sekarang ini. Masjid itulah yang dinamakan Masjidil Aqsa.

 

ITULAH POLITIK TIDAK MALU ......

Oleh Zaharuddin Abd Rahman 
http://www.zaharuddin.net/ 

Macam-macam boleh jadi dalam politik. Itulah kata-kata yang sering kita dengar apabila berlaku sesuatu yang pelik dalam perkembangan politik, sama ada politik di dalam Malaysia, mahupun di peringkat antarabangsa. 

ITULAH POLITIK 

Kelmarin diberitakan Iran melancarkan satelit mereka yang pertama, tujuannya adalah semata-mata untuk perkembangan komunikasi. Namun berita-berita di UK sudah bersangka buruk dengannya, dengan memberikan gambaran Iran akan menggunakannya untuk tujuan ketenteraan. Isu tenaga nuklear sudah lama dibincangkan. Peliknya, mengapa Israel dibenarkan menggunakan dan menyimpan senjata nuklear, demikian Amerika, dan lain-lain Negara besar dibenarkan tanpa banyak soal boleh menyekat kebebasan sebuah Negara lain seperti Iran dan Korea. Mudah jawapannya, ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', orang kata ‘tidak adil' dan lain-lain. 

Apabila terang-terang, Yahudi Zionis melakukan jenayah kemanusiaan apabila membunuh begitu ramai orang awam di Palestin. Mereka tidak dikutuk teruk, Presiden Obama dan sekutunya seolah-olah BUTA, dan terus mengemukan hujjah-hujjah yang kelihatan ‘amat kurang aqal' dan melucukan. Orang akan kata, ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil' dan lain-lain. 

Apabila beberapa pemimpin dan ahli sebuah parti Islam yang menentang habis-habisan sebuah parti kebangsaan yang disebutnya kafir dan munafik. Tiba-tiba melompat ke parti yang dikatakan munafiq. Juga dengan ‘hujah tahap tadika'. Orang kata ..ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil' dan ‘jilat ludah sendiri' dan lain-lain. 

Apabila seorang bekas ketua gerakan orang muda sebuah parti yang mendokong ‘perubahan' dan anti rasuah, dahulunya HEBAT ya AMAT HEBAT membantai beserta sumpah dan kotak-kotak bukti rasuah orang daripada parti yang ditentangnya. Tiba-tiba tidak semena-mena membawakan hujjah ‘tadikal lalu melompat kepada parti lawannya. Orang kata..ITULAH POLITIK!. Peduli apa orang kata ‘double standard', ‘tidak adil', ‘jilat ludah sendiri', ‘tiada maruah' dan lain-lain. Pedulilah apa orang nak kata. 

Seorang wakil rakyat melompat parti dari A kepada parti B, dalam tempoh beberapa hari, apabila dirasakan keadaan tidak selamat bagi dirinya, melompat semula kepada parti A. Dikemukan beberapa hujjah ‘t tadika' juga. Lalu dirasakan dirinya telah berjaya menjustifikasikan tindakan ‘beraqal tadikanya'. Orang kata, ITULAH POLITIK! 

Beberapa orang lagi, tidak melompat ke parti lain, tetapi melompat juga, melompat ke parti tiada cap. Diri sedang diteliti akibat kes-kes rasuah, termasuk rasuah seks. Tetapi seolah gentleman yang bijak pandai, menjustifikasikan tindakannya dengan hujah ‘tadika'. Tidak segankah mereka? Orang kata, ITULAH POLITIK! Tiada yang malu dalam politik? Semua boleh buat asalkan boleh manfaat untuk diri, peduli orang lain.? 

BODOH SANGAT RAKYAT DI MATA AHLI POLITIK? 

Tidak sedarkah individu-individu seperti yang disebut di atas, betapa hina mereka di sisi mata orang ramai?. Atau terlalu bodohkah orang ramai di mata mereka.? sehingga boleh didatangkan dengan hujjah-hujjah versi ‘tiada aqal', lalu tersenyum lebar menyangka semua orang masih menghormatinya luar dalam. 

Sedangkan manusia yang reti, faham dan ‘ada aqal', memandangkan dengan pandangan busuk. Orang busuk sedang berjalan, orang busuk sedang bercakap, sedang menghadiri mesyuarat. 

Kita kerap mengganggap POLITIK sebagai tiket atas segala kepelikan hasil perlakuan orang politik. 

Seeloknya, jangan lagi diletakkan beban dan sebab kepada POLITIK apabila ingin melakukan sesuatu yang TIDAK BERMORAL, TIADA MARUAH dalam industri politik. Beritahu sahaja sedemikian. 

"Saya rasuah sana sini, tipu sana tipu sini, buat ini, buat itu, lompat sana, lompat sini sebenarnya KERANA SAYA INI TIADA MARUAH, TIADA MALU DAN TAMAKKAN DUNIA " 

Amati sekali lagi bagaimana politik Khalifah Umar al-Khattab r.a dalam tulisan saya sebelum ini. Betul, banyak dilakukan atas dasar politik, tetapi politik yang didasari malu terhadap Allah swt dan sedar rakyatnya punyai hak besar untuk meneliti dirinya. 

Adakah ahli politik tidak perasan bahawa seribu satu macam jenayah mereka sebenarnya adalah 'open secret' di kalangan rakyat.? Cuma gagal di buktikan di mahkamah dunia sahaja, kerana itu masih bebas. 

Lihat sahaja rumah ahli politik sebelum dan selepas, padahal gaji dan elaun sebagai ahli parlimen Malaysia hanya sekitar RM 10,000 dan ADUN sekitar RM 8,000. 

Lihat pula rumah dan harta pegawai atasan kerajaan termasuk Polis. Cubalah jenguk dan tinjau rumah mereka dan lihat gaya hidupnya. Jika ada Umar al-Khattab, pastinya tercabut semuanya. 

KERAJAAN NEGERI PERAK 

Semasa saya menulis artikel ini, belum ada keputusan dari pihak Sultan sama ada untuk memperkenankan pembubaran DUN atau tidak. Namun, adalah sangat bijak jika diperkenankan pembubaran bagi menyapu bersih muka-muka yang tiada ‘malu' DENGAN PERLAKUAN SALAH MEREKA atau yang juga sedang merendahkan minda dan hak rakyat di negeri mereka. 

Sangat elok kiranya, rakyat diberi peluang semula untuk memilih pemimpin mereka agar individu tiada parti diganti dengan yang ada parti. Yang melompat-lompat diganti dengan yang tidak melompat. Amat diharap DUN boleh dibubarkan. Ia saya kira keputusan yang terbaik di mata pemerhati awam khususnya saya. 

Bagi saya, kes di Perak sebenarnya membuktikan betapa ‘TIDAK TAHU MALUNYA' sebahagian orang-orang politik di Malaysia. Seolah tidak lagi mereka mengendahkan perasaan, kebencian dan minda rakyat. 

Tiada lagi malu untuk berbuat apa sahaja atas nama politik. Yang penting boleh dijustifikasikan walaupun dengan hujjah tidak beraqal. 

INILAH POLITIK TIDAK TAHU MALU namanya dan politik hina dan membawa kepada kehinaan dan tiada maruah. Nabi s.a.w pernah menyebut kita PERLU MALU, kerana malu adalah agama, dengan terang lagi jelas baginda menyebut :- 

إن مما أدرك الناس من كلام النبوة الأولى إذا لم تستح فاصنع ما شئت 

Erti : Sesungguhnya, perkara yang telah diketahui ramai dari perkataan nabi-nabi awal dahulu adalah : Apabila kamu tidak lagi mempunyai perasaan malu, kamu buatlah ( akan berbuat) apa sahaja ( Riwayat Al- Bukhari) 

Dan satu lagi : 

الحياء خير كله 

Ertinya : Perasaan malu itu semuanya (membawa) kebaikan (riwayat Muslim) 

dan sebuah lagi hadis menjelaskan :- 

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( استحيوا من الله حق الحياء ) ، قلنا : يا رسول الله إنا نستحيي والحمد لله ، قال : ( ليس ذاك ، ولكن الاستحياء من الله حق الحياء أن تحفظ الرأس وما وعى ، والبطن وما حوى ، ولتذكر الموت والبلى ، ومن أراد الآخرة ترك زينة الدنيا ، فمن فعل ذلك فقد استحيا من الله حق الحياء ) 

Ertinya : Ibn Mas'ud menceritakan : Rasul bersabda : berasa malulah dengan Allah SWT DENGAN sebenar-benar erti malu, sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah pun berasa malu itu Alhamdulillah, 

Baginda menjawab : Bukan demikian, tetapi malu kepada Allah swt yang sebenar-benarnya adalah dengan menjaga kepalamu dan setiap apa yang di dalam pemikiranmu, menjaga perutmu dan setiap apa yang diingininya, dan perbanyakkan ingatan kepada mati dan kehancuran, barangsiapa yang inginkan Akhirat, bakal meninggalkan perhiasan dunia (tidak ditipu dengan kepentingan dunia), seseiapa yang berbuat demikian seperti disebut di atas, mereka telah malu kepada Allah swt dan melaksanakan hak ‘malu' ( Riwayat At-Tirmidzi ) 

AKHIRNYA 

Akhirnya, buat diri saya dan semua warga Malaysia di mana jua kita berada, berperanan dalam apa jua jawatan dan kapasiti. Malulah dengan Allah swt, diri sendiri, orang ramai. malu dalam kejahatan, bukan malu untuk melakukan kebaikan. 

Janganlah bermain dengan POLITIK TAK TAHU MALU!! Janganlah menjadikan tindakan TIDAK TAHU MALU sebagai strategi politik. Kerana ia memalukan kami untuk mempunyai pemimpin yang TIDAK TAHU MALU. 

Sekian 

Zaharuddin Abd Rahman 
http://www.zaharuddin.net/ 
4 Feb 2009 ( 6.58 malam waktu UK)
 

blogger templates | Make Money Online